SULIHH: Tambak laut tangguh

Dato' Seri Ustaz Azizan

ALOR SETAR - Projek loji penapisan minyak Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) di Yan kini dalam peringkat akhir menyediakan dokumen teknikal untuk permohonan kelulusan Laporan Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, berikutan itu Kerajaan Negeri masih belum dapat menandatangani Memorandum Of Agreement (MoA) dengan pihak pelabur kerana perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar sebelum meneruskan projek penambakan laut.

“Aktiviti penambakan laut hanya dapat dijalankan apabila mendapat kelulusan DEIA, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana dokumen teknikal pihak pelabur belum selesai. Oleh itu, kita berharap semua dokumen dapat diserahkan sebelum akhir bulan ini bagi melancarkan projek ini,” katanya.

Sehingga kini, salah satu syarikat pelabur, Hijaz Refinery Sdn Bhd belum mengemukakan dokumen lengkap menyebabkan MoA mengalami kelewatan.

“Hijaz masih belum dapat melaksanakan projek ini walaupun tempoh yang diberi sebelum ini sudah berakhir. Kita telah melanjutkan tempoh sehingga akhir bulan ini kerana tidak mahu perancangan awal SULIHH terjejas,” katanya.

Ir Amiruddin berkata, mengikut perancangan awal, bermula awal tahun depan, kerja-kerja penambakan laut perlu dilakukan supaya bermula 1 Januari 2014, bekalan minyak yang diproses dapat dibekalkan kepada negara-negara terbabit.

“Kita tidak mahu perancangan projek ini terjejas dan mohon syarikat terbabit segera menyerahkan laporan dokumen yang dikehendaki selewat-lewatnya akhir bulan ini.

“Segala dokumen hendaklah jelas dan lengkap, tanpa sebarang keraguan. Jika mereka masih gagal berbuat demikian, Kerajaan Negeri berhak menolak dan seterusnya membatalkan projek tersebut,” katanya.

Menurutnya, Pusat Pelaburan Kedah telah mengeluarkan surat membenarkan satu lagi syarikat pelabur, Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd meneruskan dan mengemukakan DEIA bagi keseluruhan kawasan SULIHH.

“Merapoh dibenarkan untuk menebus guna tanah bagi keseluruhan kawasan SULIHH sebaik sahaja mendapat kelulusan DEIA daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Kerajaan Negeri Kedah telah memeterai perjanjian kerjasama (MoU) dengan Merapoh Resources Corporations bagi membangunkan projek penapisan petrokimia, SULIHH bernilai RM35 bilion, bersama pelabur antaranya, Hong Kong Beijing Star Ltd dan Winson Invesment Ltd.

Dari sudut kerja-kerja kejuruteraan, pembangunan dan kepakaran loji penapisan minyak, projek diserah kepada SK Engineering & Construction, sebuah syarikat terkemuka berpangkalan di Korea.

Manakala SK Energy pula diberi kontrak penyelenggaraan dan operasi SULIHH.

Source : http://www.sinarharian.com.my

eZ Publish™ copyright © 1999-2010 eZ Systems AS