Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR 19 Jan. – Kerajaan negeri tetap meneruskan Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh) walaupun ia belum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) disebabkan tidak menepati laporan Impak Alam Sekitar (EIA).
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, projek tersebut akan berjalan seperti biasa sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak berkenaan yang dijangka dalam masa dua atau tiga bulan lagi.
“Kita (kerajaan negeri) akan teruskan Sulihh, cuma buat masa sekarang ia tertangguh kerana tidak menepati laporan EIA. Tunggulah bila semua sudah sedia, kita akan jalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian portal rasmi dan sistem e-Pengambilan tanah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah di Wisma Negeri di sini hari ini.
Turur hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rasli Basir dan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Muhamad Nor Rofie.
Azizan mengulas kenyataan Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini yang menggesa kerajaan negeri membatalkan Sulihh demi kepentingan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan penduduk di negeri itu.
Presiden SAM, S.M Mohammad Idris berkata, cadangan projek berkenaan tidak diluluskan oleh JAS kerana laporan EIA tidak memenuhi Seksyen 34A (2) Akta Kuantiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan masyarakat.
Katanya, penambakan kawasan laut seluas 588 hektar di Sungai Limau, Yan untuk projek petrokimia itu bukan sahaja memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar dari aspek alam sekitar, malah mengakibatkan perubahan arus gelombang laut.
Jelasnya, ia boleh meningkatkan kelajuan ombak, memusnahkan pantai, menyebabkan hakisan dan merosakkan habitat laut.
Azizan menjelaskan, syarikat yang terlibat dengan Sulihh akan mengemukakan laporan kepada JAS untuk membolehkan projek berkenaan dijalankan.
“Cuma, ada sedikit masalah dari segi teknikal sehingga menyebabkan ia tidak menepati EIA, tetapi pihak syarikat yang terlibat akan mengatasinya,” kata beliau.
Sumber : http://www.utusan.com.my (20/01/2010 - Rabu)